Terima kasih KDN dengar suara hati rakyat

53

2 JULAI: Tindakan pantas Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penerbitan dan pengedaran buku menghina Jata Negara yang mencetuskan kemarahan rakyat sebelum ini telah mendapat pujian ramai termasuk dalam media sosial.

Antara yang menyuarakan kelegaan dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajid Dusuki.

Menerusi catatan ringkas dalam Faebook miliknya hari ini, Dr. Asyraf turut melahirkan harapannya agar pihak berkuasa sentiasa proaktif bertindak terhadap kes-kes yang menghina simbol dan lambang kedaulatan negara.

“Terima kasih KDN mendengar suara hati rakyat dan pantas buat tindakan melarang pengedaran dan penerbitan buku yang menghina Jata Negara yang merupakan lambang dan maruah kedaulatan negara,” katanya.

Kerajaan mengharamkan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia’ selepas didapati menghina Jata Persekutuan pada kulit hadapannya.

Warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam dan disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara menjelaskan, pengharaman terhadap buku tersebut diambil mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.

Dalam warta itu, buku tersebut akan dilarang daripada dicetak, diimport, dihasilkan dan diterbitkan semula, dijual, diedar dan dimiliki.

Perintah bertarikh 1 Julai melibatkan larangan secara mutlak terhadap buku itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.