Tahniah Frontliners! Tahniah Rakyat Malaysia! – PM

43

2 JULAI: Selepas berbulan bertungkus-lumus berjuang mengekang penularan wabak COVID-19, rakyat Malaysia sewajarnya berasa bangga dan teruja dengan trend penurunan kes harian tempatan yang dicatatkan kebelakangan ini sehingga menyaksikan sifar kes tempatan semalam.

Sambil mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih kepada petugas barisan hadapan serta rakyat Malaysia, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan positif itu menunjukkan tahap kesedaran serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah, buat pertama kali semalam, negara kita mencatatkan kes harian COVID-19 terendah iaitu satu kes import dan tiada kes jangkitan tempatan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara.

“Syabas dan jutaan terima kasih kepada ‘frontliners’ yang sehingga kini masih bertungkus-lumus mengawal penularan wabak COVID-19 di dalam negara. Pada masa yang sama, saya juga berbangga dengan seluruh rakyat Malaysia atas kerjasama yang sangat baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Dalam catatan akaun Facebook miliknya itu, Perdana Menteri terus mengingatkan rakyat supaya tidak berasa terlalu selesa sehingga alpa dan lalai dalam usaha mengawal jangkitan COVID-19 ini.

“Ingin saya ingatkan dan tegaskan di sini. Rakyat perlu terus berwaspada, mengambil langkah pencegahan dan mematuhi SOP yang ditetapkan pada setiap masa walau di mana pun anda berada. Dalam tempoh PKPP ini, kita semua adalah ‘frontliners’.

“Kita semua memikul tanggungjawab yang sangat berat untuk melindungi keluarga, komuniti dan negara daripada wabak COVID-19. Insya-Allah saya yakin, dengan kerjasama dan komitmen seluruh rakyat Malaysia, kita akhirnya pasti akan berjaya memerangi COVID-19,” tegasnya.

Mengakhiri catatannya yang menggunakan tanda pagar #kitarakyatMalaysia dan #proudtobeMalaysian, Muhydiddin berkata:

“Saya berbangga dengan anda semua. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia.” – M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.