Sekolah agama dan pusat tahfiz boleh beroperasi mulai 15 Julai

38

2 JULAI: Semua sekolah agama dan pusat tahfiz berdaftar bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri, boleh beroperasi semula mulai 15 Julai ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, sekolah agama dan pusat tahfiz yang tidak berdaftar dengan KPM perlu merujuk kepada pihak berkuasa kerajaan negeri sebelum memulakan operasi masing-masing.

“Semua sekolah agama dan pusat tahfiz berkenaan juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikemukakan KPM supaya kita dapat menamatkan rantaian COVID-19.

“Semua sekolah agama dan pusat tahfiz berdaftar KPM boleh mula operasi mulai 15 Julai ini manakala premis tidak berdaftar, mereka perlu memohon kepada kerajaan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya akan memberi latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP yang bersesuaian dengan normal baharu bagi meningkatkan kompetensi mereka.

“MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir. Selain itu, penambahbaikan terhadap sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) akan dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan kes tertunggak,” katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa lebih dua jam bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.