Pemilihan Sharim ikut dinamik politik semasa – Tok Mat

79

2 JULAI: Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain dibuat dengan mengambil kira faktor perubahan dan dinamik politik semasa.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, faktor itu menuntut parti melihat pelbagai aspek terutamanya kehendak masyarakat dan penyediaan pemimpin pelapis.

Menurut beliau, BN dan UMNO perlu menghidangkan sesuatu yang diterima oleh rakyat dan kemenangan Mohd Sharim adalah keutamaan parti.

“Dalam pilihan raya umum (PRU) serta PRK-PRK sebelum ini kita memilih calon yang kita fikir boleh menang dan keutamaan kita adalah mahu menang .

“Bukan keutamaan kita memberikan peluang kepada sesiapa tetapi parti mesti menang,” katanya dalam rancangan Kabo Chini yang disiarkan secara langsung oleh UMNO Online.

Timbalan Presiden UMNO itu menambah, parti tidak mahu terikat dalam norma-norma lama kerana masa telah berubah.

Beliau memberitahu, UMNO mesti berupaya membaca dinamik politik tanah air dan jangan ketinggalan agar dapat mengambil peluang daripada faktor itu.

“Kita tidak boleh ikut atau tersangkut atau duduk dalam kepompong lama. Ini tradisi kita mesti ikut macam tu…tak…itu sebabnya kita kadang-kadang bermasalah dengan pengundi dan rakyat kerana mereka nampak kita tidak berubah.

“Rakyat nampak kita masih lagi duduk dalam kepompong lama, pemikiran lama dan rakyat telah berani dan tanpa segan silu untuk mengubah kerajaan,” jelasnya.

Justeru tegas beliau untuk UMNO atau BN dan Muafakat Nasional kita mesti berupaya menyesuaikan keadaan politik semasa.

“Apa kehendak politik semasa…kehendak masyarakat semasa…kehendak pengundi dan bacaan-bacaan ini kita mesti ada kerana nanti orang kata akan syok sendiri dan akhirnya kita tersungkur.

“Dalam masa sebegini UMNO dalam keadaan membina semula kekuatan, kita mesti juga berupaya mengenalpasti kehendak semasa serta kemampuan parti . Jadi ini kita mesti pertemukan di satu ttitik pertemuan. Jadi kombinasi kedua ini dijadikan satu ramuan yang boleh melihat kita kembali perkasa dan boleh diterima oleh orang ramai,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.