PAS sokong Muhyiddin demi kesejahteraan negara & rakyat

117

2 JULAI: PAS menzahirkan kepercayaan dan sokongan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata tujuan PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Muhyiddin dan permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) adalah demi kesejahteraan negara dan rakyat.

“PAS menzahirkan dukungan kepada kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan permuafakatan politik PN demi mensejahterakan negara dan rakyat.

“Pada masa yang sama, PAS menzahirkan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Semalam, kesemua ketua parti dalam PN menyatakan sokongan mereka kepada Muhyiddin dalam pertemuan di Putrajaya, semalam dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Selain Abdul Hadi, pertemuan itu turut dihadiri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Wee Ka Siong (MCA) dan Tan Sri S. Vigneswaran (MIC).

Selain itu, turut hadir Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (PBB), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (SUPP), Datuk Seri Tiong King Sing (PDP), Tan Sri Amar Dr. James Jemut Masing (PRS), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (PBS), Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (PBRS).

Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan PN dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Bersatu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.