Mkini Dotcom, Ketua Editor gagal batal prosiding komital

127

2 JULAI: Mkini Dotcom Sdn Bhd and Ketua Editor Malaysiakini hari ini gagal membatalkan kebenaran diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital ke atas mereka.

Memetik laporan BERNAMA, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf yang mengetuai panel tujuh hakim sebulat suara mengetepikan permohonan mereka dan menetapkan 13 Julai ini untuk mendengar merit prosiding kes penghinaan mahkamah itu.

Dalam keputusan beliau, Rohana berkata, melihat kepada sifat ulasan yang dipertikai membabitkan badan kehakiman secara menyeluruh dan juga Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, mahkamah berpandangan bahawa Mahkamah Persekutuan adalah forum yang sesuai untuk mendengar prosiding komital itu.

Beliau berkata, mahkamah juga berpendapat menurut Seksyen 114 Akta Keterangan 1950, responden dianggap telah menerbitkan ulasan yang dipertikaikan itu ,” katanya sambil menambah satu kes prima facie telah dibuktikan.

“Sementara menanti penyelesaian perkara ini, kami mengarahkan pihak-pihak terlibat supaya tidak membuat sebarang komen bagi mengelakkan sub judice, kata beliau.

Lain-lain anggota panel hakim itu ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 17 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan satu pihak sahaja, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom, syarikat yang mengendalikan portal berita Malaysiakini dan Ketua Editornya.

Peguam Negara memohon untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom dan Ketua Pengarang portal berita itu berkaitan lima ulasan pembaca dalam artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk “CJ Orders All Courts To Be Fully Operational From July 1”.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili Peguam Negara dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan pada 17 Jun lepas berkata portal berita itu membenarkan ulasan yang menyakitkan hati dan memalukan badan kehakiman itu dipaparkan pada seksyen komentar artikel itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.