Isu sawit: Malaysia fail tindakan undang-undang terhadap EU

51

2 JULAI: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dengan
kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) melalui Mekanisme Penyelasaian Pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan undang-undang ini dilaksanakan berdasarkan kepada asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan yang telah digariskan oleh WTO.

Menurut beliau, polisi yang dilaksanakan EU dalam Delegation Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) telah mewujudkan sekatan yang tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Malaysia serta seterusnya menyekat amalan perdagangan bebas.

“Tindakan diskriminasi oleh EU ini akan menyebabkan lebih tiga juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara menerima impak yang negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Khairuddin menambah, sebagai makluman, pada Disember 2018, EU telah meluluskan EU RED II.

Beliau menyatakan, lanjutan daripada itu, pada Mac 2019 Delegated Regulation iaitu peraturan pelengkap di bawah EU RED II juga telah diluluskan.

“Delegated Regulation tersebut antara lain menerangkan mengenai kriteria atau metodologi bagi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api menyebabkan kadar indirect land use change (ILUC) yang tinggi atau rendah dan kesannya kepada pelepasan gas rumah hijau.

“Dalam hal ini, berdasarkan kepada Delegated Regulation tersebut, minyak sawit telah dikategorikan sebagai mempunyai kadar ILUC yang tinggi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Khairuddin memberitahu, jumlah eksport minyak sawit negara ke EU dijangka akan terkesan memandangkan biobahan api dengan kadar ILUC yang tinggi tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, Delegated Regulation di bawah EU RED II ini dilihat mempunyai kekurangan dari segi ketelusan, kredibiliti saintifik dan terdapat banyak andaian yang dibuat memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap amalan kemampanan dan kelestarian yang diamalkan dalam industri sawit negara.

“Selain itu, ia juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC yang tinggi dalam kalangan minyak sayuran bagi
sumber biobahan api.

“Untuk makluman, Malaysia juga akan terlibat sebagai pihak ketiga dalam pemfailan kes yang telah dibuat oleh Indonesia,” ujarnya.

Menurut Mohd Khairuddin, penglibatan Malaysia itu adalah sebagai tanda sokongan dan solidariti serta komitmen Malaysia sebagai negara pengeluar sawit untuk bersama Indonesia dalam menangani isu kempen anti-minyak sawit.

Katanya, Malaysia akan terus komited dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.