BN terbuka terima semula Salleh

43

2 JULAI: Walaupun Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak bertindak keluar parti selepas kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan mengalu-alukan beliau kembali ke pangkuan UMNO.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, tiada halangan terhadap permohonan bekas Bendahari UMNO itu namun beliau perlu menjalani beberapa proses yang ditentukan pimpinan tertinggi.

“Kita memang ada menerima permohonan daripada Datuk Seri Salleh dan empat pemimpin kanan daripada Sabah, yang membuat keputusan kembali semula dan mereka perlu membuat permohonan baharu.

“Parti politik ini milik orang ramai, kami terima dengan hati yang terbuka, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Kelmarin, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menerusi catatan dalam blog sallehsaid.com memaklumkan bahawa beliau telah membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR.

Beliau dikatakan mengambil keputusan itu pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Sebelum itu, Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas beliau bersama sebilangan besar kepemimpinan UMNO Sabah meninggalkan parti pada Disember 2018.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.