Vui Keong cuma mahu tutup kelemahan PH – Erwan

994

1 JULAI: Tindakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mempersoalkan usul menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya dianggap sebagai langkah terdesak Pakatan Harapan (PH) mengalih perhatian rakyat terhadap kelemahan mereka.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Erwan Tahir berkata, kenyataan yang dibuat oleh Vui Keong itu hanyalah bersifat retorik dan mencari publisiti murahan ketika populariti PH semakin merudum dalam kalangan rakyat.

Beliau memberitahu, harus diingat bahawa ketika ini Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya bukan wakil yang dipilih dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita sedia maklum bahawa badan legislatif dan eksekutif memerlukan satu sama lain dan apabila kerajaan bertukar tangan semestinya dasar juga berubah.

“Ini juga bukanlah kali pertama Yang Dipertua Dewan ditukar, saya mengambil contoh kes duluan apa yang pernah berlaku semasa ‘Perak Fiasco’ 11 tahun lalu di mana ketika itu kerajaan Pakatan Rakyat tumbang di Perak dan usul untuk menukar Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dilakukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Erwan mengulas tentang tindakan Vui Keong mempersoalkan usul menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau turut memberi contoh yang mewajarkan kerajaan perlu menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.

“Andaikan jika Rang Perbekalan Undang-Undang Tambahan dibawa ke Dewan Rakyat kebarangkalian usul tersebut tidak akan diterima oleh Yang Dipertua dan Timbalan Yang DIpertua Dewan Rakyat yang bukan datang dari parti pemerintah ini sedikit sebanyak akan mengganggu badan eksekutif untuk melaksanakan dasar dan polisi mereka yang semestinya perlu melalui Dewan Rakyat dan akhirnya akan merugikan rakyat sendiri,” jelasnya.

Erwan turut mengingatkan Vui Keong bahawa sistem pentadbiran negara ini mempunyai tiga badan berasingan iaitu badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Badan kehakiman seharusnya berasingan dari badan legislatif dan eksekutif namun tidak bagi badan eksekutif yang bertanggungjawab kepada legislatif iaitu Parlimen atau Dewan Rakyat kerana setiap dasar dan polisi kerajaan akan dipersoalkan oleh wakil rakyat berada di Parlimen,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gentar untuk berdepan undi tidak percaya kepada kerajaan di bawah kepimpinan beliau.

“Ketika ini, blok PH juga tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga yang cukup jelas dan saya nampak mereka akan berterusan bercelaru dan bercakaran sesama sendiri,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.