Tiada esok bagi Anwar, patut tinggalkan PH

138

1 JULAI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digesa supaya segera angkat kaki meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kerajaan sehingga penggal ini berakhir.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Anwar perlu berbuat demikian kerana PH kini tiada masa depan yang cerah, selain tidak mencalonkan Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri.

“Sekali lagi saya tekankan, PH sudah tidak ada masa depan, nak selesaikan isu memilih calon Perdana Menteri pun gagal sehingga wujud dua hingga tiga nama, apatah lagi mahu membentuk kerajaan.

“Jadi saya berharap Anwar mendengar saranan saya supaya tinggalkan PH dan beri sokongan moral kepada Muhyiddin, memandangkan beliau sudah tidak diterima dalam PH.

“Jika Anwar masih bersama PH dan mahu menjadi Perdana Menteri, memang tinggal harapanlah, bak kata pelakon Jins Shamsuddin, tiada esok bagimu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu yang melanda parti-parti dalam PH yang sehingga kini belum mencapai kata sepakat dalam isu pencalonan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kepimpinan Anwar kini tidak diperlukan lagi dalam PH dan terbukti apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri seterusnya jika blok pembangkang kembali menguasai kerajaan bukan Presiden PKR itu yang jauh lebih senior.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa membubarkan Parlimen lebih awal jika ketidakstabilan politik di negara ini berterusan.

“Kalau beliau boleh dengar nasihat saya, adalah tinggalkan PH, bagi sokongan kepada Muhyiddin. Itu akan tunjukkan sifat negarawannya kepada rakyat untuk mematikan pergolakan politik dan saya harap beliau dengar nasihat saya.

“Cadangan Dr Mahathir calonkan Shafie itu secara politiknya untuk beritahu secara halus bahawa beliau tidak boleh terima Anwar. Kalau PH putuskan calon Perdana Menteri sekalipun belum tentu juga mereka menang.

“Dalam keadaan negara berdepan masalah ekonomi dan Covid-19 dan rakyat terbeban, kita duk gila nak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.