Shahrir puji SPRM kembali ke matlamat asas penubuhan

164

1 JULAI: Tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memuji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat kembali ke matlamat asas penubuhannya iaitu membanteras gejala rasuah tanpa pilih kasih.

Beliau berkata, selepas Latheefa Koya meletak jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, suruhanjaya tersebut kembali kepada tugas hakikinya untuk menyiasat dan bertindan terhadap kes-kes rasuah.

Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu mendakwa, semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, kes-kes yang melibatkan pemimpin-pemimpin sekutu PH di Sabah (Parti Warisan Sabah) dan Pulau Pinang (DAP) ditawakufkan penyiasatan dan ditarik balik dari perbicaraan demi politik PH.

“SPRM di bawah Latheefa Koya dan Pendakwa Raya di bawah bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjadi alat badan eksekutif untuk bertindak terhadap seteru PH.

“Segala peruntukan undang-undang dari Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 hingga ke Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digunakan untuk membawa pertuduhan kepada UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN),” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Shahrir mengulas tentang laporan media berhubung tindakan SPRM menahan bekas Penolong Bendahari DAP Pulau Pinang, Jeffery Chew bagi membantu siasatan skandal terowong dasar laut semalam.

Beliau mendakwa, terdapat kes di Sabah yang melibatkan pemimpin Warisan dan sudah berada di mahkamah namun ditarik balik oleh Peguam Negara era PH.

Selain itu, tambahnya, ada kes di Pulau Pinang yang melibatkan pemimpin DAP tetapi penyiasatan dihentikan.

“Pemimpin politik terlibat tapi tindakan terhadap mereka dihentikan kerana arahan politik kepada SPRM dan Peguam Negara.

“Sama jugalah kes ‘banglo’ Lim Guan Eng. Berada dalam perbicaraan tapi ditarik keluar,” dakwanya.

Sehubungan itu, Shahrir gembira kerana SPRM sudah kembali kepada asas dan tidak menjadi alat penindasan badan eksekutif.

“22 bulan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghiraukan keadilan tapi hanya guna kuasa untuk nafsu politiknya,” dakwanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.