Pertandingan di semua kerusi 10 Julai ini

69

1 JULAI: Buat kali kedua berturut-turut dalam sejarah Singapura, kesemua 93 kawasan pengundian dalam pilihan raya umum di Republik itu bakal menyaksikan pertandingan pada 10 Julai ini.

Parti pemerintah sejak penubuhan Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan meletakkan calon di semua 93 kerusi untuk mengekalkan kuasanya yang menyaksikan 191 calon dari 11 parti dan seorang calon Bebas dalam pertembungan itu.

Memetik laporan The Straits Times, kesemua 192 calon telah menyerahkan kertas pencalonan mereka di sembilan pusat penamaan calon semalam untuk bertanding di 17 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Undi Anggota Tunggal (SMC).

Ini adalah pilihan raya umum kedua yang menyaksikan PAP meletakkan calon di semua kawasan pengundian.

Parti Pekerja (WP), yang mempunyai enam kerusi di Parlimen sebelum ini, telah meletakkan 21 calon di enam kawasan manakala Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang ditubuhkan tahun lepas, meletakkan 24 calon di sembilan kawasan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, adik Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Hsien Yang yang menyertai PSP sehari selepas pembubaran Parlimen pada 23 Jun, bagaimanapun tidak bertanding sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau akan menjadi calon dalam pilihan raya umum Singapura kali ini.

Semalam, Hsien Yang dilihat berada di kawasan berhampiran pusat penamaan calon Sekolah Rendah Bendemeer untuk menunjukkan sokongan kepada calon PSP yang bertanding di GRC Tanjong Pagar.

Parti lain iaitu Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United dan Perikatan Demokratik Singapura, masing-masing telah meletakkan sebilangan kecil calon.

Calon Bebas pula bertanding di SMC Pioneer, satu-satunya SMC yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum itu. Pertandingan tiga penjuru lain ialah di GRC Pasir Ris-Punggol.

Hsien Loong, yang juga Setiausaha Agung PAP, dan jentera pilihan rayanya bakal berdepan Parti Reformasi yang diterajui Setiausaha Agungnya, Kenneth Jeyaretnam di GRC Ang Mo Kio.

Bercakap kepada pemberita selepas penamaan calon di Sekolah Menengah Deyi, Hsien Loong berkata PAP akan berjuang untuk meraih setiap undi.

“Setiap kawasan ditandingi dan ini bukan pilihan raya kecil. Ia adalah pilihan raya umum yang membabitkan isu paling penting pada saat negara dilanda krisis.

“Saya fikir semua orang perlu memahami bahawa perkara itu, semua orang perlu memikirkan perkara itu semasa mereka menilai undi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.