Ketua parti pendokong PN bermuafakat perkukuh kerjasama

141

1 JULAI: Ketika sesetengah pihak meragui kerjasama parti-parti yang mendokong Perikatan Nasional (PN) dengan membuat pelbagai spekulasi, kesemua pemimpin parti berkenaan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, hari ini.

Dalam pertemuan itu, semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Dalam satu catatan di akaun Facebook milik Perdana Menteri, dimaklumkan pemimpinan yang hadir selain Muhyiddin (Bersatu) adalah kesemua Presiden-Presiden parti terdiri daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS), Datuk Seri Wee Ka Siong (MCA) dan Tan Sri S. Vigneswaran (MIC).

Selain itu, turut hadir Datuk Patinggi Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg (PBB), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian (SUPP), Datuk Seri Tiong King Sing (PDP), Tan Sri Amar Dr. James Jemut Masing (PRS), Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili (PBS), Tan Sri Joseph Kurup (PBRS) dan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (PBRS).

Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan Perikatan Nasional dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Bersatu.

Perikatan Nasional yang melibatkan gabungan pelbagai parti mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan berikutan pergolakan politik dalaman Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Muhyiddin telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu manakala Kabinet kerajaan Perikatan Nasional pula dibentuk selang 10 hari kemudian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.