Kempen e-dagang perluas akses pasaran PKS tempatan

32

1 JULAI: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan kempen e-dagang Perusahaan Mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PMPKS) bagi menggalakkan penggunaan e-dagang oleh perniagaan tempatan memperluaskan lagi akses pasaran mereka.

MDEC menjelaskan, inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu bermula semalam dan akan berakhir pada 30 September.

“PMPKS dan perniagaan tempatan yang mahu menyertai kempen tersebut boleh mendaftar menerusi www.go-ecommerce.my/PENJANA,” katanya dalam kenyataan media.

Perbadangan itu menambah, kerajaan telah memperuntukkan RM70 juta di bawah PENJANA untuk melaksanakan kempen mempermudahkan perniagaan tempatan mengekalkan operasi dan meningkatkan produktiviti secara beransur-ansur.

Kempen berkenaan melibatkan 10 rakan e-dagang, termasuk Boost, Foodpanda, Grab, Lazada, Maybank, Shopee dan Touch ‘n Go eWallet, serta lebih banyak rakan e-dagang dijangka menyertainya.

Lebih 145,000 PMPKS disasarkan menerima manfaat daripada latihan e-dagang, subsidi penjual dan sokongan jualan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, peralihan digital kepada e-dagang akan membantu mengukuhkan ekonomi dalam suasana normal baharu pasca-COVID-19, dengan semakin ramai pengguna memilih membeli belah dalam talian daripada mengunjungi kedai fizikal.

“Beralih kepada e-dagang akan membantu PMPKS mengurangkan kos operasi, perniagaan menjadi lebih rancak dan lebih responsif kepada peluang baharu, yang membolehkan mereka mendapatkan pelanggan baharu dalam pasaran sedia ada dan berkembang ke pasaran baharu,” jelasnya.

Beliau memberitahu, dengan peningkatan jualan runcit dalam talian, pasaran e-dagang Asia Tenggara dijangka bernilai kira-kira AS$153 bilion menjelang 2025.

Selain kempen e-dagang PMPKS, kerajaan juga memperuntukkan RM70 juta lagi bagi melaksanakan inisiatif Shop Malaysia Online, inisiatif e-dagang kedua di bawah PENJANA yang akan berlangsung selama dua bulan mulai Ogos ini.

Inisiatif berkenaan bertujuan merangsang pemulihan ekonomi dengan menggalakkan penggunaan dalam talian menerusi baucar digital bagi pelanggan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.