Kawalan kendiri atau berdepan lonjakan Covid-19

41

1 JULAI: Kelemahan kawalan kendiri dalam kalangan rakyat menjadi antara punca utama wabak COVID-19 sukar dibendung di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan jumlah kes meningkat sehingga 2.6 juta orang.

Pakar penyakit berjangkit terkemuka AS, Dr. Anthony Fauci berkata, sebab itu, negara tersebut berkemungkinan mencatatkan sehingga 100,000 kes jika garis panduan berkaitan terus tidak diendahkan.

Tegasnya, kegagalan rakyat AS mematuhi garis panduan kesihatan khususnya di tempat sesak sangat meresahkan.

“Kita akan terus bermasalah dan lebih ramai akan menderita jika amalan dalam kalangan rakyat seperti yang dapat disaksikan sekarang tiada perubahan,” katanya.

Pengarah Institut Penyelidikan Penyakit Berjangkit dan Alergi AS itu berkata demikian kepada anggota Kongres.

Ketika kebanyakan negara di Asia dan Eropah berjaya mengawal wabak ini menerusi kawalan kendiri rakyat, senario di AS pula sebaliknya.

Sebagai contoh, perkara asas seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam juga telah dipolitikkan di kebanyakan negeri di negara kuasa besar itu.

Terdapat 10 negeri di AS mencatatkan peningkatan kes berganda ketika sektor ekonomi kembali dibuka dengan 40,000 kes dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh sehari buat lima hari berturut-turut.

Angka kematian COVID-19 di AS mencecah 127,00 kes dengan angka di seluruh dunia kini melebihi 500,000.

Selain AS, Brazil juga mencatatkan bilangan kes COVID-19 melebihi sejuta dengan angka terkini menunjukkan 1.3 juta kes dilaporkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.