PRK Chini: 600 anggota polis bertugas di hari pengundian

81

1 JULAI: Kira-kira 600 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan dalam memastikan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini berjalan dengan lancar. 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kesemua anggota yang terlibat diberikan latihan pengendalian demi melancarkan proses pengundian yang melibatkan normal baharu dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berikutan masih wujud ancaman Covid-19,.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan mengadakan penugasan di empat peringkat iaitu pada hari penamaan calon, semasa berkempen, hari pengundian serta penjumlahan dan pengumuman keputusan pilihan raya.

“Semasa tempoh berkempen PRK ini, kita menyediakan lebih 400 anggota polis dan semasa mengundi pula kita sediakan lebih 600 anggota untuk membantu memastikan SOP pilihan raya ini dipatuh,” katanya seperti memetik laporan Sinar Harian, hari ini. 

Ismail memberitahu, mesyuarat penugasan PRK DUN Chini yang melibatkan PDRM, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melihat kepada gerak kerja, yang antara lain tertumpu kepada aspek pematuhan SOP, kelancaran trafik dan keselamatan awam.

“Pihak media turut diberi taklimat mengenai garis panduan liputan sepanjang hari pengundian nanti,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK DUN Chini diadakan bagi merebut kekosongan kerusi ditinggalkan Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lepas.

Seramai 20,990 pengundi PRK DUN Chini direkodkan dalam daftar pemilih dan DUN Chini yang juga satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan adalah kawasan pertama mengadakan PRK selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.