Agong seru semua patuhi SOP, amal kawalan kendiri

26

1 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Al-Sultan Abdullah bertitah, rakyat juga perlu berdisiplin dengan kebiasaan baharu dan melakukan kawalan kendiri seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Titah Seri Paduka itu dinyatakan dalam satu hantaran Facebook Istana Negara berikutan pembukaan lebih banyak sektor dan aktiviti harian rakyat dengan antaranya prasekolah dibenarkan beroperasi bermula hari ini.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Melawati, Putrajaya.

Istana Negara menerusi akaun Facebook memaklumkan, sesi berkenaan berlangsung selama satu jam bermula pukul 8 pagi.

Mesyuarat pra-Kabinet itu kembali diadakan di Istana Melawati hari ini, selepas diadakan secara sidang video sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

“Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Al-Sultan Abdullah untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu berkaitan kerajaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.