Tiada maaf bagi individu hina Jata Negara

65

30 JUN: Penghinaan terhadap Jata Negara sebagai lambang rasmi kedaulatan negara adalah sikap yang biadab dan melampaui batas serta tidak boleh dimaafkan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sebagai rakyat Malaysia, mereka seharusnya menghormati lambang-lambang negara termasuklah Jalur Gemilang, Lagu Kebangsaan, Bunga Kebangsaan, Jata Negara dan apa-apa yang berkaitan dengannya.

Menurut beliau, Jata Negara yang diperkenalkan sejak tahun 1895 itu mempunyai makna tersendiri kepada negara dan bukan hanya ‘cebisan murahan’ yang boleh dihina sesuka hati.

Malah katanya, menurut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk Jata Negara secara tidak wajar.

“Oleh itu kulit sebuah buku yang bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’ suntingan Kean Wong ini secara jelas dan nyata cuba menghina serta merendahkan lambang rasmi negara ini.

“Perbuatan seumpama itu tidak wajar dimaafkan kerana ia adalah satu cubaan pihak tertentu yang mahu menganggu gugat keharmonian negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu itu, Abdul Latiff menyatakan sokongan dan memuji tindakan pantas pihak polis segera membuka kertas siasatan bagi menyiasat perkara ini.

“Saya menyokong tindakan pantas pihak polis yang akan memanggil pihak-pihak terlibat dalam masa terdekat. Tindakan yang paling tegas perlu di ambil sesegera mungkin bagi meredakan kemarahan rakyat terhadap isu ini,” ujarnya.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap perkara itu setelah menerima banyak laporan daripada pelbagai pihak dan akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.