Setiausaha Sulit Speaker pertahan dirinya

535

Di dalam masyarakat kita, peribahasa siapa makan cili, dia terasa pedas boleh dikatakan amat popular.  

Mungkin sebab itu, setiausaha sulit Speaker Dewan Rakyat, Fatihah Salahuddin tampil mempertahan dirinya serta  Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang berdepan usul menggantikan Speaker di Parlimen pada 13 Julai ini.

Secara panjang lebar, Fatihah memuji diri sendiri dan kemampuan tugasnya yang diakui beliau berkualiti, penuh profesional sebagai Setiausaha Sulit kepada Speaker. 

Anak kepada Timbalan Presiden Amanah (PAN) Datuk Seri Salahuddin Ayob itu menyatakan beliau telah mengendalikan sebanyak 42 program yang melibatkan antara Parlimen/Pejabat Speaker dengan sekolah-sekolah, universiti, badan pemikir, organisasi antarabangsa, kementerian serta kedutaan asing.

Katanya, tidak pernah dalam sejarah pejabat Speaker, pernah mengendalikan program antara Pejabat Speaker dengan rakyat secara aktif sebegini.

Menurut Fatihah tiada langsung sebarang unsur politik mahupun agenda Amanah yang telah diterapkan kepada mereka yang terlibat sepanjang program-program tersebut dijalankan.  

 Jadi menurut Pengarah Komunikasi Wanita Muda Amanah itu, adalah pertama kali dalam sejarah kewujudan pegawai politik dilihat sebagai ancaman kepada kerajaan.

Beliau merujuk laporan PN BBC Portal yang menjelaskan, antara sebab mengapa usul untuk menggantikan Speaker dibuat adalah dengan mengambil kira tindak tanduk pegawai-pegawai Speaker yang kerap mengkritik kerajaan hari ini.

Walaupun namanya tidak disebut dalam laporan PNBBC, Fatihah tampil mempertahankan dirinya bahawa beliau dipilih oleh Speaker atas merit yang pada hemat Mohamad Ariff bahawa dirinya layak dan mampu untuk membantu beliau melaksanakan reformasi Parlimen.

Justeru itu, beliau minta buktikan bahawa tindak tanduknya telah mempengaruhi keputusan Mohamad Ariff sepanjang beliau berkhidmat sebagai Speaker sehinggakan menjadikan  sebagai alasan mengapa usul untuk mengganti Speaker dihantar.

Untuk maklumkan, orang ramai boleh melihat sendiri beberapa tulisan Fatihah di media sosial miliknya yang dilihat menghentam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Antaranya: https://malaysiadateline.com/faedah-moratorium-rakyat-makin-resah-ditipu-pn/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Jadi, bagaimana setiausaha sulit kepada Speaker yang sepatutnya berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah  (government of the day) boleh mengkritik secara terus terang sedangkan beliau tahu kedudukan beliau disisi Speaker yang perlu berlaku adil dan profesional.

Sebagai pemimpin aktif dalam Amanah, adakah Fatihah tidak mengkritik atau menghentam kerajaan PN dalam ceramah atau program politiknya?.

Tentulah amat tidak wajar untuk Fatihah berbuat demikian tanpa beliau memikirkan kesannya kepada kedudukan Mohamad Ariff.

Difahamkan, Mohamad Ariff sudah dua kali bertemu Perdana Menteri dan tentu Tan Sri Muhyiddin Yassin amat berharap Speaker itu menjalankan tugas secara profesional, adil saksama serta taat kepada government of the day.

Jika itu harapannya, sudah tentu pegawai-pegawai Mohamad Ariff perlu mengambil pendirian serupa atau Speaker patut menegur mana-mana pegawainya yang didapati mengkritik kerajaan hari ini secara terbuka.

Maka tidak hairan, jika tindak tanduk pegawai-pegawai Mohammad Ariff ini turut memberi kesan kepada kedudukannya sehingga ada usul menggantikan Speaker.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.