SBI Offshore singkir Mirzan Mahathir dalam AGM

209

30 JUN: Pemegang saham syarikat Singapura, SBI Offshore menyingkirkan Mirzan Mahathir daripada jawatan Pengerusi dalam undian mesyuarat agung tahunan (AGM) semalam.

Memetik laporan The Edge Singapura, laporan SBI kepada bursa saham negara berkenaan menyebut bahawa sebanyak 70.05 peratus undi sah menolak pelantikan semula beliau, berbanding hanya 29.95 peratus undi menyokong.

Anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu merupakan pemegang saham utama SBI pada September 2014 selepas mengambil alih 10.8 peratus kepentingan dalam syarikat menerusi penempatan persendirian pada harga 26.05 sen sesaham.

MIRZAN MAHATHIR

AGM turut menyaksikan pelantikan semula seorang lagi pengarah syarikat, James Kho Chung Wah manakala pemegang saham SBI menolak dua resolusi yang dibentangkan.

Sebanyak 66.43 peratus undi menolak usul pembayaran fi pengarah sebanyak S$120,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 untuk dibayar berasaskan suku tahunan dari segi tunggakan.

Selain itu, pemegang saham tidak memberi kuasa kepada syarikat untuk menerbitkan saham sebagai ganjaran prestasi.

Pada 12 Jun lalu, SGX RegCo dilaporkan memeriksa SBI atas kemungkinan melanggar peraturan penyenaraian serta pelanggaran tugas fidusiari pengarah, berikutan penemuan laporan audit khas oleh RSM Corporate Advisory.

Audit khas tersebut adalah atas arahan SGX RegCo pada Disember 2018, bagi menyiasat penjualan kilang di China, yang dijual oleh SBI hanya pada harga RMB18 juta, dianggap diskaun besar berbanding nilai bukunya antara RMB38 hingga RMB40 juta.

Laporan audit khas berkenaan, diterbitkan oleh RSM pada 12 Jun lalu, merumuskan bahawa SBI Offshore ada mengambil proses ‘mencukupi dan munasabah’ untuk cuba menjual kilang tersebut.

Harga transaksi RMB18 juta mewakili tawaran terbaik yang mereka terima sepanjang tempoh berkenaan.

Namun, laporan audit khas RSM itu mendapati beberapa isu berkaitan kilang yang sama turut berbangkit, seperti perjanjian pengambilalihan tidak mengandungi butiran mencukupi untuk aset itu dibeli.

Di samping itu, tiada penilaian dilakukan sebelum memuktamadkan perjanjian pembelian bagi menilai dan menyokong pertimbangan pembelian sebanyak RMB32 juta ketika itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.