Mirzan pernah terima kontrak kerajaan zaman PM7

214

30 JUN: Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bahawa anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan pernah menerima kontrak daripada kerajaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Menurut beliau, Mirzan dilantik menjadi pengarah GETS Global pada Mac tahun lalu yang menyebabkan saham syarikat tersebut naik mendadak walaupun Bursa Malaysia secara keseluruhan adalah pasaran saham paling corot dalam dunia ketika itu.

Menurut beliau, GETS Global kemudiannya mengumumkan hasrat untuk menceburi industri membekal bas elektrik dengan bateri dari Jepun pada September 2019.

“Pada bulan yang sama, GETS Global tandatangan perjanjian untuk membekal sekurang-kurangnya 100 bas elektrik kepada syarikat Gunung Capital Berhad dengan harga minima RM500,000 setiap unit.

“Pada bulan berikutnya, Oktober 2019, PM7 (Dr Mahathir) umum semua bas di Langkawi akan digantikan dengan bas elektrik. Bas biasa akan dilarang dan kreta hibrid dan bas elektrik bakal
digunakan di Langkawi secara meluas,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Najib memberitahu, pada bulan yang sama, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan telah peruntukkan RM450 juta untuk membeli 500 bas elektrik dalam Belanjawan 2020 untuk pengangkutan awam di bandar terpilih seluruh negara.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, syarikat Gunung Capital yang menandatangani perjanjian untuk membeli bas dari GETS Global tiga bulan sebelumnya tiba-tiba mendapat kembali kontrak yang dibatalkan PH pada Mei 2018 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Disember tahun lalu daripada Kementerian Pertahanan untuk membekal servis bas kepada semua kem tentera.

“Harga saham pun melonjak naik 75 peratus. Cerita ini adalah cerita ‘kebetulan-kebetulan’ yang banyak berlaku pada zaman Gagalkrasi PH. Ini semua kebetulan-kebetulan sahaja.

“Harga saham melonjak naik 400 peratus dalam tempoh masa beberapa hari selepas diumum pengarah? Jangan simpan rasa iri hati pada orang kaya, pesan Dr M,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.