Jangan alpa walaupun kes COVID-19 catat penurunan

37

30 JUN: Orang ramai terus diingatkan supaya jangan alpa walaupun bilangan kes COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai seharusnya lebih berwaspada serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan langkah pencegahan supaya rantaian wabak dapat diputuskan.

Menurut beliau, ini kerana jumlah kes COVID-19 di peringkat global sedang meningkat dan dijangkakan melarat.

“Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom dalam taklimat secara maya, pandemik COVID-19 di dunia masih belum berakhir.

“Malah, secara global, kes-kes pandemik COVID-19 ini sebenarnya semakin meningkat. Beliau juga memberi amaran bahawa situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia dijangkakan akan semakin melarat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menegaskan, pematuhan kepada SOP merupakan perkara paling utama dalam memastikan kes Covid-19 di Malaysia terus berkurangan.

“Memandangkan lebih banyak subsektor akan dibuka pada 1 Julai 2020, kerjasama orang ramai adalah amat diperlukan oleh kerajaan untuk sama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Malaysia,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.