Haniza tumpu bantu rakyat selepas dipecat PKR

64

30 JUN: Keputusan Lembaga Disiplin PKR melucutkan keahlian tidak mematahkan semangat bekas Ketua Wanita parti itu, Haniza Talha untuk terus menyumbang kepada rakyat.

Walaupun menerima pelbagai tohmahan, beliau tetap komited untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik agar mereka menerima pembelaan sewajarnya.

Matlamatnya adalah untuk melihat rakyat khususnya generasi akan datang hidup dlam keadaan yang lebih baik.

“Dengan penularan wabak Covid-19, ia memberi cabaran tambahan untuk semua pihak, termasuk diri saya dalam melaksanakan tugas.

“Politik bagi saya adalah suatu platform, bukannya matlamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya bersama empat pemimpin PKR dilucut keahlian parti berkuatkuasa serta merta oleh Lembaga Disiplin parti semalam.

Dua ADUN yang turut dilucutkan keahlian ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sg. Acheh), manakala dua lagi, Ketua Wanita Keadilan Sabah, Rahimah Majid dan Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria.

Berhubung keputusan Lembaga Disiplin PKR itu, Haniza berkata, keahliannya telah digantung sejak 13 April lalu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli yang sentiasa menyokongnya, memberi tunjuk ajar serta nasihat kepadanya sepanjang berkhidmat dalam parti.

“Kepada yang tidak menyukai saya, saya doakan agar anda semua dapat bersama memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, lebih baik daripada sumbangan kecil saya ini,” jelasnya.

Beliau terlibat dalam politik sekitar 2008 dan bertanding kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) bagi kerusi DUN Taman Medan.

Haniza memberitahu, PKR meruapakan satu-satunya parti politik yang disertainya dan beliau turut bersama menggerakkan parti, khususnya bagi memperkuatkan sayap wanita.

“Kini, saya meneruskan khidmat di DUN Lembah Jaya dan tidak kurang cabarannya. Kehidupan di kota cabarannya ada dan besar bagi kebanyakan rakyat. Tidak kurang berbanding dengan cabaran rakyat yang tinggal di kampung.

“Tugas saya mempengerusikan Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar sentiasa berusaha agar rakyat yang tinggal di Selangor mendapat kehidupan berkualiti,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.