COVID-19: 8,354 kes pulih setakat 30 Jun

21

30 JUN: Sebanyak 20 kes pulih dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dalam negara terus meningkat kepada 8,354 kes.

Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara hanya merekodkan dua kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 8,639 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes baharu itu iaitu termasuk seorang kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Menurut beliau, kes yang membabitkan kes tempatan melibatkan seorang warganegara manakala kes import hanya melibatkan seorang warganegara yang baru pulang dari luar negara.

“Satu kes tempatan melibatkan saringan prarujukan dari Hospital Kota Belud ke Hospital Likas dan dilaporkan tidak bergejala.

“Bagi kes import pula merupakan warganegara yang baharu pulang dari Mesir yang dikesan positif di KLIA pada 29 Jun 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari tadi.

“Tiada pertambahan kes kematian disebabkan oleh COVID-19 dan jumlahnya kekal sebanyak 121 kes atau 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.