Anwar kurang popular dengan orang Melayu- Tun M

34

30 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak layak menjadi calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan.

Dr Mahathir menegaskan, Ahli Parlimen Port Dickson itu kurang popular dalam kalangan orang Melayu, sekali gus menyukarkan usaha memenangi pilihan raya.

“… Dan kerana beliau tidak begitu popular menjadi ketua parti berbilang bangsa, beliau memerlukan seorang pemimpin Melayu yang mampu membantu memenangi pilihan raya.

“Jadi, saya dengan beliau dalam pilihan raya ini dengan saya sebagai calon Perdana Menteri, saya rasa kami akan dapat sokongan daripada orang Melayu,” katanya seperti dipetik dari temu bual bersama CNBC, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Anwar gagal mendapat sokongan Melayu dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu memberitahu, Anwar tidak boleh mencalonkan dirinya ketika itu kerana masih berada di dalam penjara.

Menurut beliau, Anwar dipenjara pada 2015 atas kesalahan meliwat dan dibebaskan pada 16 Mei 2018 selepas memperoleh Pengampunan Diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika saya memimpin parti pembangkang, kita berjaya menang dan ini merupakan pencapaian kerana untuk tempoh 60 tahun, Malaysia dipimpin oleh kerajaan daripada parti yang sama. Ini pertama kali perubahan dicapai,” tambahnya.

Ketika ditanya mengapa beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu, Dr Mahathir berkata, keputusan itu dibuat kerana komponen parti PH menolak pandangan beliau agar tidak meninggalkan gabungan parti kerajaan.

“Mereka menolak cadangan saya, dan selepas penolakan tersebut… mereka mahu saya memimpin parti bersama parti kerajaan terdahulu,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.