Ahmad Zahid terima surat Ismail Haniyeh

75

30 JUN: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima surat khas daripada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, malam tadi.

Surat tersebut disampaikan oleh wakil Haniyeh yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran.

Surat yang sama turut disampaikan kepada pemimpin-pemimpin dunia Islam termasuk pemimpin parti politik.

Ahmad Zahid juga bersokong mesej yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Palestin itu dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalal surat tersebut, Ismail menyatakan, rejim Zionis Israel sekali lagi terus melakukan kezaliman melalui pelan pengilhakan 30 peratus bumi Tebing Barat dan Lembah Jordan yang ditukar menjadi penempatan haram pendatang Yahudi.

Menurut Ismail, sekali lagi tanah milik ummah akan dijarah dan dicuri serta diiktiraf sebagai milik kuasa penjajah.

“Tanah berkenaan adalah kawasan penting sumber pertanian dan air bagi penduduk Palestin. Jika dirampas Israel, rakyat Palestin akan lebih terancam dengan kehilangan sumber makanan dan air.

“Israel sengaja memilih kawasan ini bagi melakukan penghapusan etnik Arab-Palestin,” jelas beliau.

Melalui surat tersebut, Hamas ingin memberi penekanan pada hal-hal pencabulan keji hak asasi manusia ke atas Palestin.

Rancangan itu seolah-olah memberi ‘lesen’ kepada Tel Aviv untuk meneruskan kekejamannya dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.

Pelan provokatif Israel pada 1 Julai ini seolah-olah dihalalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mampu menyekat kuasa veto AS bagi masyarakat dunia mengecam rejim Zionis Israel

Pemimpin Hamas itu mahu semua kerajaan Islam, parti politik dan organisasi di seluruh dunia sepakat memperjuangkan hak rakyat Palestin menerusi pelbagai pendekatan termasuk persidangan dan pelan khas.

Surat yang menekankan tujuh perkara itu menyatakan Ismail mahu semua parti dan organisasi politik Arab dan Islam menolak serta menyekat aktiviti normalisasi hubungan Israel dengan mereka berikutan pelan penjajahan rejim Zionis tersebut.

Dalam hantaran lain, Ahmad Zahid turut berkongsi tentang penyertaannya dalam persidangan dalam talian antarabangsa mengenai isu Palestin bersama pemimpin-pemimpin kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan dunia.

“Menyuarakan pandangan bahawa Palestin sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia. Menyatakan bahawa UMNO dan Malaysia akan terus memberi sokongan dan berharap masyarakat antarabangsa akan menangani isu Palestin ini dengan serius.

“PBB mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi hak rakyat Palestin. Keputusan Israel untuk ambilalih secara paksa 30 peratus tanah Palestin mesti dihentikan segera,” katanya.

Beliau berpandangan, Tel Aviv mengambil langkah yang salah justeru Palestin pasti tidak ada pilihan melainkan mempertahankan tanah mereka dan boleh menyebabkan konfrontasi yang lebih serius.

“Ia mesti diselesaikan secara diplomatik dengan penyertaan kuasa-kuasa besar. Berharap PBB akan mencapai penyelesaian yang baik dalam masa terdekat,” ujarnya.

Ahmad Zahid menambah, umat Islam di Malaysia sentiasa menyokong dan mendokong perjuangan rakyat Palestin dan pada masa yang sama, dunia Islam mesti bersatu untuk membebaskan mereka dari kekejaman Israel. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.