Sultan Johor biayai kos baik pulih wad HSA terbakar

31

29 JUN: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan 1 Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar petang semalam.

Sultan Iskandar bertitah, baginda akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja pembaikan dimulakan segera dan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan menanggung kos sepenuhnya.

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan. Oleh demikian, saya mahukan kerja pembaikan dilakukan segera,” titah Sultan Iskandar menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini.

Sultan Johor turut bertitah, baginda sentiasa mengutamakan rakyatnya dan peranan YSIJ juga amat besar kerana sentiasa terbabit dalam membantu orang ramai dalam pelbagai perkara.

“Tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan dalam kebakaran itu,” titah baginda.

Wad Perubatan Perempuan 1 HSA terbakar kira-kira jam 2.50 petang semalam, namun ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 3.13 petang dan kebakaran berjaya dipadamkan lima minit kemudian dengan pesakit dan waris dipindahkan ke lokasi lain di HSA untuk sementara waktu atas faktor keselamatan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.