PKR pecat 3 ADUN, 2 ketua wanita negeri

345

29 JUN: PKR hari ini melucutkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua Ketua Wanita Negeri kerana dipercayai melanggar disiplin parti.

Tiga ADUN berkenaan termasuk dua dari Pulau Pinang iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) serta ADUN Lembah Jaya, Selangor, Haniza Talha.

Turut dipecat ialah dua Ketua Wanita PKR Negeri, Rahimah Majid (Sabah) dan Nur Zarina Zakaria (Pulau Pinang).

Sementara itu, seorang ahli, Ahmad Raj Abdullah digantung keahlian kerana menyerang Naib Presiden, Tian Chua pada 1 Mac lalu manakala tiga lagi pemimpin termasuk Tian Chua diberi amaran oleh parti.

Dua lagi pemimpin yang diberi amaran ialah Pengarah Komunikasi Wanita PKR Pulau Pinang, Carolyn Kor dan ADUN Machap Jaya, Ginie Lim.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim dalam kenyataan media hari ini berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat semalam selepas menerima syor daripada lembaga itu.

Haniza yang juga bekas Ketua Wanita PKR dan Dr Afif yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) digantung keahlian oleh parti itu pada Mei lalu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.