Mat Sabu, Guan Eng cadang nama Mukhriz – Tun M

66

29 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi alasan bahawa cadangan menamakan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II bukan timbul dari ideanya sendiri.

Sebaliknya, beliau berkata, cadangan pelantikan Mukhriz itu disebut dalam kenyataan bersama Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 22 Jun lalu.

Dr Mahathir menjelaskan, perkara itu meletakkan beliau dalam keadaan serba salah kerana sewaktu menjadi Perdana Menteri keempat dahulu, beliau melarang anaknya daripada bergiat dalam politik khususnya sebagai ahli parti kerajaan.

“Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya.

“Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka,” katanya dalam kenyataan menerusi melalui laman blog Che Det, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri dikongsi oleh Mukhriz dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, pada hari yang sama, Anwar menyeru rakyat supaya menolak ‘politik tipu helah’ yang dipercayai merujuk kepada isu calon Perdana Menteri PH Plus.

Beliau turut mengakui tidak ada hak untuk menentang apabila nama Mukhriz dicadangkan untuk jawatan tertentu.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.