Jata Negara: Bukit Aman akan panggil semua terbabit

132

29 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung kes penerbitan buku tulisan Kean Wong yang didakwa menghina Jata Negara.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan dilakukan selepas  PDRM menerima banyak laporan polis berhubung pengubahsuaian Jata Negara berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan memanggil semua mereka terbabit penerbitan buku  bertajuk ‘Rebirth :Reformasi, Resitance, And Hope In New Malaysia.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar)(Pindaan)2016, Seksyen 4(1)Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1)Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.


Terdahulu, muka hadapan buku tulisan Kean Wong yang didakwa mengubahsuai Jata Negara telah menimbulkan kegusaran dan kemarahan rakyat.

Berikutan itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh parti-parti politik antaranya pemuda PAS, MIC, Umno, MCA termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan hari ini meminta semua ahli pemuda PAS membuat laporan polis di seluruh negara berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad, dalam satu kenyataan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera mengantung penjualan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong yang jelas menghina negara.

Beliau berkata secara khusus, Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya.

“Bahkan penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam.

“Pemeliharaan Jata Negara daripada sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profession” katanya.

Berikutan itu, Kamaruzaman berkata PAS mendesak PDRM menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.