Hina Jata Negara: Pemuda BN, Pas buat laporan polis

96


29 JUN: Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pas membuat laporan polis terhadap penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku yang didakwa merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia.

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd. Nizam Mohd. Abdullah berkata, tindakan yang dilakukan oleh penulis merendah-rendahkan dan menghina martabat jata negara.

Menurut beliau, perbuatan tersebut melampau di samping mengusik sensitiviti dan kemarahan rakyat Malaysia yang menjaga Jata Negara, lambang rasmi kedaulatan negara.

“Kami hari ini Pemuda UMNO, Pas, MCA dan MIC buat laporan kerana tindakan penulis buku yang menghina Jata Negara merupakan tindakan yang melampaui batas.

“Kami bersoladariti hari ini kerana ini bukan soal agama dan bangsa tetapi soal penghinaan terhadap lambang rasmi kedaulatan negara kita,” katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Turut hadir sama, Exco Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris, Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, Exco Pemuda MCA, Lim Soon Pin dan Setiausaha Pemuda Kebangsaan MIC, G Theeagaeesh.

Terdahulu, tular di media sosial pengguna berkongsi satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ disunting oleh penulis, Kean Wong yang mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Dalam pada itu, G Teeagaeesh berharap agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melakukan penghinaan terhadap negara.

Beliau turut menyeru agar MIC seluruh negeri melakukan laporan polis supaya pihak berkuasa memandang perkara ini dengan tegas dan serius.


“Kami juga hari ini datang untuk menyokong supaya kesemua mereka yang terlibat dalam menghina Jata Negara diambil tindakan tegas undang-undang.

“Kami akan lakukan sebaik mungkin bagi individu terlibat di bawa ke muka pengadilan kerana apa yang kami lakukan ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.