Cabaran 2 tahun Ahmad Zahid bergelar Presiden UMNO

210

PADA 30 Jun ini, genap dua tahun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyandang jawatan Presiden UMNO.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai cabaran yang ditempuhi oleh beliau selaku teraju parti terbesar orang Melayu di Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mewarisi UMNO dalam keadaan yang agak tidak menentu berikutan kegagalan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam situasi yang sukar itu, beliau diberi mandat oleh ahli-ahli UMNO untuk terus menerajui parti apabila berjaya mengatasi dua pencabarnya, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah dan Khairy Jamaluddin dalam persaingan jawatan Presiden semasa pemilihan UMNO 2018.

zahid

Namun, bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut berdepan cabaran yang getir untuk mengemudikan UMNO yang ketika itu merupakan parti pembangkang.

Pada Oktober 2018, Ahmad Zahid dituduh di mahkamah atas 45 tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya berjumlah RM114 juta.

Beliau berdepan dua lagi tuduhan pecah amanah masing-masing pada 14 Disember 2018 dan 20 Februari 2019 untuk kes yang sama.

Selain itu, beliau berdepan 40 tuduhan rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN) pada Jun 2019, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 87 pertuduhan.

Berikutan kes mahkamah yang dihadapinya, timbul desakan dari dalam UMNO supaya Ahmad Zahid ‘berehat’ seketika daripada memimpin parti.

Keadaan dalam UMNO ketika itu agak ‘panas’ berikutan tindakan beberapa Ahli Parlimen dari UMNO keluar parti dan kekalahan BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14.

Ahmad Zahid akur dengan desakan tersebut dan mulai 20 Disember 2018, tugasnya dipangku oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Segelintir pemerhati politik mendakwa, desakan supaya Ahmad Zahid berehat itu ada kaitan dengan usaha menyingkirkan beliau.

Pandangan itu berasaskan suara pihak tertentu yang mahu Ahmad Zahid terus berehat sehingga pemilihan parti yang seterusnya manakala Mohamad yang semakin popular terus diberi ruang memimpin UMNO.

Walau bagaimanapun, pandangan tersebut tersasar apabila Ahmad Zahid mengakhiri tempoh rehatnya dan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO pada 30 Jun 2019.

Di bawah kepimpinan beliau, kerjasama antara UMNO dan PAS semakin diperkukuhkan dalam kerangka Muafakat Nasional.

Ahmad Zahid dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memeterai Piagam Muafakat Nasional dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

UMNO kembali menjadi salah sebuah parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dengan sendirinya selepas hanya 22 bulan berkuasa.

Dengan jumlah keseluruhan 39 Ahli Parlimen, UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid memainkan peranan penting sebagai kuasa pengimbang dalam memelihara kestabilan kerajaan PN yang diasak berterusan oleh PH.

Walaupun tidak dilantik memegang sebarang jawatan Kabinet, Ahmad Zahid dan Mohamad tetap meneruskan usaha memikat hati rakyat agar terus memberi kepercayaan kepada UMNO untuk terus berkhidmat membela nasib mereka.

Melihat kepada rekod prestasi UMNO dalam tiga PRK yang ditandingi calonnya selepas PRU-14 iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Kimanis dan kemungkinan besar DUN Chini, parti terbesar orang Melayu itu dijangka mempunyai peluang yang cerah untuk menyumbang kepada kemenangan besar BN dan PN dalam PRU-15.

Dasar kerjasama politik dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pasti melancarkan lagi usaha UMNO untuk memantapkan sokongan orang Melayu dan umat Islam terhadap PN.

Ahmad Zahid juga selalu mengutarakan pandangan membina kepada kerajaan PN dalam isu-isu berkaitan kebajikan rakyat lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 ketika ini.

Berhubung politik dalaman UMNO pula, cuma tinggal setahun sahaja lagi untuk Ahmad Zahid mengetuai parti bagi penggal 2018-2021.

Sekiranya beliau memilih untuk mempertahankan jawatan Presiden, terdapat beberapa tokoh yang dilihat berupaya memberi saingan secara sihat kepada beliau.

Mohamad yang kini pemimpin nombor dua parti mempunyai pengaruh yang agak kuat dalam kalangan akar umbi manakala kewibawaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin terserlah sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Tidak dapat dipastikan sama ada Khairy akan mencuba nasib sekali lagi dalam pemilihan Presiden UMNO tahun depan.

Sekiranya berlaku pertandingan, setiap calon Presiden UMNO pasti mempunyai peluang yang sama rata untuk menang dalam sistem pemilihan parti yang bersifat lebih menyeluruh dengan melibatkan akar umbi.

Mengenai peluang Ahmad Zahid untuk mengetuai UMNO bagi penggal kedua, soal itu terpulang kepada sama ada beliau ingin mempertahankan jawatan dan kesediaan ahli-ahli parti memberi mandat kepadanya sekali lagi. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.