Wad HSA terbakar, tiada cedera- Dr Adham

144

28 JUN: Tindakan pantas kakitangan Wad Perubatan Perempuan Satu, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, berjaya menyelamatkan 24 pesakit dalam kejadian kebakaran membabitkan wad terbabit, hari ini.

Kakitangan terbabit berjaya mengawal api sebelum dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba yang tiba lima minit kemudian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 petang.

“Ia hanya kebakaran kecil dan pesakit berjaya dipindahkan kakitangan wad.

“Memandangkan terdapat bangunan baharu dan lama di HSA, kami akan melakukan pemeriksaan dan siasatan bagi memperbaiki jika terdapat sebarang kelemahan,” katanya ketika ditemui di HSA, hari ini.

Dr Adham sebelum itu memeriksa tempat kejadian dan turut diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Datuk Yahaya Madis.

Menurutnya, keseluruhan kompleks itu menempatkan 52 pesakit manakala bangunan yang terjejas dalam kebakaran itu mempunyai 24 pesakit.

Dr Adham Baba bertemu dengan jururawat yang terselamat dalam kebakaran di HSA.

Katanya, kesemua 24 pesakit itu kini ditempatkan di beberapa wad di HSA dan Hospital Permai. Menurutnya, hanya bangunan menempatkan 24 pesakit yang terbakar itu ditutup sementara siasatan dijalankan sehingga dibenar digunakan semula oleh bomba dan Jabatan Kerja Raya.

Keluarga pesakit juga diminta menghubungi HSA bagi mengetahui penempatan semula ahli keluarga mereka selepas dipindahkan dari wad berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.