Usaha terancang pastikan Mukhriz jadi PM – Najib

173

28 JUN: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebagai calon Perdana Menteri (PM) adalah satu usaha terancang untuk menaikkan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku calon PM seterusnya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memang sudah meramalkan Dr Mahathir akan menyenaraikan nama Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan kerjaya politik anak yang baru sahaja kehilangan jawatan Menteri Besar selepas berlaku perubahan pemerintahan kerajaan negeri Kedah, baru-baru ini.

Berikutan itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan secara sinis mengucapkan sekalung tahniah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana turut tercalon ke jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas 22 tahun berjuang untuk memegang jawatan selaku Perdana Menteri.  

“Baru tadi (semalam), PM7 (Dr Mahathir) keluarkan kenyataan media dalam bentuk video yang agak panjang. (Dia ada sebut nama saya? Sudah tentu ada). Saya sunting sikit supaya mesej utama lebih jelas. PH Minus (tanpa PKR) sebulat suara sokong Shafie Apdal jadi PM, Anwar jadi TPM1 dan Mukhriz sebagai TPM2.

“Kan saya dah kata? Setiap jalan yang dipilih PM7 akan berakhir dengan Mukhriz menjadi TPM dan akhirnya PM,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, hari ini.

Pada 1997, sewaktu negara dipimpin oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4, beliau bertindak memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan itu menyebabkan tercetusnya gerakan reformasi untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), yang akhirnya berjaya pada 2018 dalam pilihan raya umum ke-14 apabila gabungan politik itu gagal mendapat bilangan kerusi Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat.

Mengulas lanjut, Najib berkata, tindakan beliau tidak menyokong Mukhriz sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan UMNO 2013 adalah antara punca utama Dr Mahathir membencinya selama ini.

“Ini juga antara sebab utama PM7 marah dengan saya sejak akhir tahun 2013 semasa pemilihan UMNO kerana masa itu saya tak sokong anak dia jadi Naib Presiden UMNO sebab dia baru sahaja diberi jawatan Menteri Besar Kedah.

“Apapun, tahniah diucapkan juga kepada Anwar kerana selepas 22 tahun berjuang atas jalan raya sejak tahun 1998, Anwar bakal merebut kembali jawatan asalnya sebagai TPM.

“Siapa suruh kamu percaya sangat pada parti DAP dan kuncunya PAN? Kan kamu dah terang-terang dikhianat mereka? Mana mungkin DAP boleh diharap? Tak percaya, tanya parti PAS?” tambah Najib lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.