Tun M mahu kekalkan legasi politik keluarganya

109

28 JUN: Tindakan menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri, adalah satu lagi percaturan atau ‘buah catur’ politik Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk kekalkan legasinya.

Penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, beliau sebenarnya hairan dan pelik kenapa Dr Mahathir menamakan Ketua Menteri Sabah itu sebagai calon Perdana Menteri seterusnya jika Pakatan Harapan (PH) Plus berjaya merampas kuasa daripada Perikatan Nasional (PN).

Malah, beliau juga percaya tujuan utama Dr Mahathir menamakan Mohd Shafie sebagai penggantinya adalah untuk menyekat kemaraan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri seterusnya.

“Kita kena ingat bahawa konflik dan perebutan kuasa dan konflik politik antara Dr Mahathir dan Anwar sejak 1997 hingga sekarang sebenarnya belum tamat sepenuhnya.

“Justeru, saya yakin Anwar tidak akan menerima cadangan terbaharu Dr Mahathir ini kerana Presiden PKR itu memang beriya-iya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri.

“Satu andaian adalah Dr Mahathir berbuat demikian kerana PH Plus sekarang terdesak atau ‘desprado’ sehingga terpaksa menamakan Mohd Shafie untuk meraih sokongan ahli Parlimen untuk merampas kuasa dari PN,” katanya ketika dihubungi PN BBC, hari ini.

Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas punca sebenar Dr Mahathir membuat keputusan mengejut menamakan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri biarpun belum ada persetujuan rasmi dicapai antara bekas Perdana Menteri itu bersama DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR yang menjadi tulang belakang pembentukan PH.

Mengulas lanjut, Zainal berkata beliau percaya usaha Dr Mahathir mahu menggangkat Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri dijangka kurang mendapat sokongan dan sambutan dari kalangan pemimpin politik dan rakyat terutamanya di Semenanjung.

Beliau berkata cadangan itu juga cara dan taktik politik terbaharu Dr Mahathir untuk menaikkan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Perdana Menteri seterusnya jika majoriti ahli Parlimen dan rakyat menolak Mohd Shafie.

“Biarpun Mohd Shafie dikatakan popular di Sabah namun belum tentu beliau diterima baik oleh orang Sarawak dan Semenanjung serta parti komponen PH lain seperti Amanah dan DAP.

“Mohd Shafie adalah calon kurang popular kecuali di Sabah kerana beliau pernah dikaitkan dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Jadi saya melihat cadangan Dr Mahathir ini sebenarnya adalah suatu permainan dan taktik politik sahaja kurang serius, menunjukkan konfik antara beliau dan Anwar masih berterusan sehingga sekarang,” katanya.

Malah, Zainal percaya orang Sabah sendiri menganggap tindakan Dr Mahathir menamakan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri selaku satu perbuatan yang kelakar atau lawak politik sahaja. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.