Tiada rakyat Malaysia dijangkit kes baharu COVID-19

41

28 JUN: Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada kes penularan dalam negara COVID-19 membabitkan rakyat Malaysia hari ini daripada 14 kes baharu direkodkan sehingga tengah hari tadi, sekali gus menjadikan 8,634 kes secara kumulatif di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan sebanyak 18 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini termasuk 14 daripadanya adalah kes penularan tempatan membabitkan bukan warga Malaysia.

Beliau berkata, empat lagi ialah adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang membabitkan tiga rakyat Malaysia dan seorang warga asing yang juga pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah 195 kes termasuk  18 kes baharu hingga jam 12 tengah hari, hari ini.

“Kementerian Kesihatan juga ingin memaklumkan bahawa terdapat 10 kes pulih dan dibenarkan dibenarkan keluar dari hospital hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 8,318 kes iaitu 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menggesa majikan agar memainkan peranan untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi, selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja warga asing.

Beliau menambah, pelbagai SOP dibangunkan untuk setiap sektor, memandangkan Malaysia kini memasuki fasa pemulihan daripada pandemik wabak berkenaan.

“Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan seramai 60,298 orang bukan warga Malaysia disaring sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 2,575 kes atau 4.3 peratus dikesan positif jangkitan COVID-19.

“Sebanyak 57,441 kes atau 95.3 peratus pula adalah negatif dan 282 kes (0.4 peratus) masih menunggu keputusan.

“Bagi kes positif di kalangan bukan warga Malaysia, seramai 105 kes (4.1 peratus) masih dalam rawatan, 2,465 kes (95.7 peratus) yang pulih dan dibenarkan pulang, manakala jumlah kes kematian COVID-19 adalah sebanyak lima kes (0.2 peratus),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.