Pusat kecemerlangan persenjataan bakal dibina di Chini

88

28 JUN: Projek pembinaan pusat kecemerlangan persenjataan bernilai RM60 juta di Kampung Bukit Cempedak Bintang, Kuala Chini, Pahang yang diluluskan beberapa tahun lalu kini dalam proses tender.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek Pusat Ujian Tropika dalam mukim Penyor itu telah diluluskan beberapa tahun lalu oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu, iaitu RM40 juta untuk kos pembangunan manakala RM20 juta lagi untuk peralatan.

“Kita (Kementerian Pertahanan) dalam proses untuk tender (projek itu),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ramah mesra bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kawasan Chini di Bandar Dara Chini, Pahang, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain.

Beliau menambah, tujuan pembinaan tapak kecemerlangan persenjataan itu adalah bagi membuat percubaan dari segi kesesuaian berdasarkan cuaca negara ini terhadap kenderaan dan peralatan ketenteraan yang dibeli oleh Kementerian Pertahanan.

“Ia lulus bukan kerana pilihan raya ini. Saya umum untuk memaklumkan status projek tersebut. Orang sini, orang Pekan pun dah tah dan perkara ini telah diumumkan dulu.

“Kini bajetnya telah dapat, cuma dalam proses tender dan bila dah ditutup, kita akan anugerahkan tender itu dan bermulalah kerjanya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri tidak menjelaskan tarikh projek tersebut dijangka bermula.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.