Moratorium: Terpulang kepada bank beri lanjutan

229

28 JUN: Kerajaan menyerahkan kepada budi bicara bank untuk melanjutkan tempoh moratorium secara bersasar kepada pelanggan masing-masing.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini kerajaan sedang berbincang dengan bank mengenai kemungkinan melanjutkan moratorium.

Menurut beliau, tindakan itu perlu selepas kerajaan menerima banyak maklum balas mahupun permintaan daripada orang ramai yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium.

“Bagi pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong, sewaktu kita melaksanakan moratorium enam bulan ini, kita menolong semua orang sama ada yang mempunyai gaji atau mampu untuk membayar, tetap dapat nikmati manfaat ini secara automatik.

“Jadi saya fikir menuju ke depan, langkah terbaik ialah untuk memberi tumpuan kepada golongan sasar yang mana lebih memerlukan.

“Tetapi kita tidak boleh memaksa bank untuk melakukannya dan kami akan terus mengadakan libat urus dengan mereka mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Prasarana Malaysia Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April.

Berikutan itu sejumlah RM43.7 bilion telah dimanfaatkan oleh penerima moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan setakat 19 Jun lalu dengan sebanyak RM15.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul juga menasihatkan semua pihak supaya segera berjumpa dan berbincang dengan bank mengenai penstrukturan semula pinjaman mereka dan jangan tunggu hingga saat akhir.

“Sila berjumpa dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga untuk membuat penstrukturan semula hutang jika anda mengalami masalah kewangan akibat dibuang kerja untuk mereka membantu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lebih 62,000 pas perjalanan tanpa had My30 dijual sejak ia dilancarkan pada 15 Jun lalu dengan jumlah penumpang pengangkutan awam meningkat beransur-ansur sehingga 40 peratus berbanding jumlah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan berharap dengan kebenaran jumlah penumpang 100 peratus kapasiti dalam perkhidmatan rel sejak 11 Jun lalu, lebih ramai rakyat akan kembali menggunakan perkhidmatan rel awam. Jumlah ini dijangka meningkat dengan pembukaan semula sekolah secara berperingkat,” katanya.

Inisiatif My30 diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan sebanyak RM200 juta, membabitkan empat mod pengangkutan awam iaitu transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), KL monorail dan bas Rapid KL.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.