Dana kredit mikro RM350 juta bantu agropreneur

46

28 JUN: Agrobank menyambut baik pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee baru-baru ini berkenaan dana kredit mikro bernilai RM350 juta sebagai bantuan kepada agropreneur yang terjejas oleh COVID-19.

Pengumuman khas itu dibuat berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM350 juta bagi tujuan pembiayaan kredit mikro melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana) di bawah Dana Agromakanan.

Dana tersebut bertujuan memastikan kelestarian di sektor pertanian dan komoditi dengan memberikan bantuan kewangan kepada pengusaha mikro khususnya komuniti agro, di bawah kategori B40 yang terlibat dalam perusahaan pertanian dan pengeluaran makanan.

Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, Agrobank berbesar hati dan menyokong inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ini untuk memberikan bantuan kewangan kepada pengusaha yang terkesan oleh COVID-19.

Menurut beliau, pengumuman tersebut tepat pada masanya untuk menyokong dan mengukuhkan perniagaan agropreneurs yang terjejas oleh kesan COVID-19.

Jelasnya, pengumuman itu juga dilakukan pada 27 Jun lalu, yang merupakan Hari Antarabangsa untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, sepertimana yang diwartakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Lima kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti bagi program pembiayaan ini adalah agropreneur di bawah PPK, nelayan, petani padi, syarikat baru dan pengusaha mikro sedia ada.


“Tujuannya adalah untuk menyediakan modal operasi bagi pemulihan perniagaan dan dianggarkan lebih daripada 14,000 usahawan mikro bakal mendapat manfaat daripada dana ini,” ujarnya.

Khadijah memberitahu, sebagai institusi kewangan pembangunan yang diberikan mandat untuk mendukung pertumbuhan sektor pertanian di negara ini, Agrobank komited untuk menyediakan pembiayaan dan penyelesaian kewangan yang relevan kepada komuniti agro.

“Akses kepada kewangan adalah penting untuk memulakan dan menjana semula perniagaan yang terkesan akibat wabak ini. Kami percaya bahawa pengusaha akan mendapat manfaat dari kadar rendah dan tidak memerlukan sebarang jaminan,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, Agrobank secara aktif bekerjasama dengan rakan strategik seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), FELDA, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), kerajaan negeri Pahang dan Sarawak dan banyak lagi untuk memberi peluang dan memperkasakan kumpulan B40.

Individu atau perusahaan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Skim Pembiayaan Kredit Mikro ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Agrobank di 1-300- 88-2476 atau kunjungi cawangan yang terdekat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.