Calonkan Shafie jadi PM helah politik Tun M

55

28 JUN: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri adalah sekadar cadangan peribadi dan helah politik terbaharu Ahli Parlimen Langkawi itu sahaja.

Ini kerana, menurut penganalisis politik dari Sabah, Dr. Firdausi Suffian, sehingga kini parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain termasuk DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Warisan sendiri belum membuat keputusan rasmi.

Pensyarah Kanan, Politik, Ekonomi dan Penganalisis Dasar di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Sabah itu menjelaskan, beliau juga tidak pasti pencalonan Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri turut mendapat restu daripada majoriti ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak lain.

“Pengumuman Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri bukan hanya pertama kali dalam sejarah, malah ia adalah satu situasi atau muslihat politik yang amat menarik.

“Saya memang menyokong jika ada pihak mencalonkan Ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak menjadi Perdana Menteri tetapi amat terkejut apabila nama Mohd Shafie dipetik.

“Dr Mahathir kata beliau menentang kleptokrasi jadi kenapa sekarang beliau menamakan Mohd Shafie?” katanya.

Semalam, media melaporkan Dr Mahathir menamakan Mohd Shafie sebagai penggantinya untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya jika PH kembali berkuasa manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bersama Datuk Seri Mukhriz.

Mengulas lanjut, Firdausi berkata, biarpun Mohd Shafie digambarkan sebagai seorang yang bersih dari sebarang tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, belum tentu pencalonannya sebagai Perdana Menteri oleh ahli Parlimen PH lain termasuk dari Sabah dan Sarawak sendiri.

Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir itu juga menggambarkan bahawa beliau amat terdesak untuk merampas kuasa dari Perikatan Nasional (PN), selain sebahagian usaha berterusannya untuk menyekat Anwar mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri sejak lebih 20 tahun lalu.

“Pada saya kenyataan berkenaan juga hanya satu lagi lontaran idea peribadi Dr Mahathir, bukannya keputusan rasmi PH Plus yang turut dianggotai DAP, PKR dan Amanah.

“Jika idea Dr Mahathir itu menjadi realiti ini adalah caranya untuk mencari sokongan bukan hanya dari ahli Parlimen Sabah, malah Sarawak kerana kedua-dua negeri adalah ‘king maker’ dalam menentukan blok mana yang bakal menjadi kerajaan Persekutuan,” katanya.

Firdausi berkata beliau berharap pencalonan Mohd Shafie akan membantu menyelesaikan pelbagai isu dan tuntutan Sabah dan Sarawak kepada kerajaan Persekutuan termasuklah royalti petroleum dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah berpanjang sejak sekian lama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.