Bekalan barangan keperluan dijamin mencukupi – Ismail Sabri

34

28 JUN: Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan adalah mencukupi serta mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jaminan itu adalah berdasarkan pemantauan harian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Menurut beliau, penguat kuasa KDPNHEP semalam telah memantau 25 jenis bekalan barangan di 845 premis perniagaan termasuk peruncit (639), pemborong (175) dan pengilang (31).

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga telah membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan kerana ianya dijamin mencukupi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, pegawai penguat kuasa KPDHEP telah melakukan 1,368 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau menambah, mereka mendapati sebanyak 1,359 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan lagi premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.