PRK DUN Chini bukti calon matang dalam berpolitik

17

27 JUN : Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini membuktikan calon-calon jentera parti yang bertanding sudah matang dalam berpolitik.

Penganalis politik, Dr. Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, ini disebabkan tiada serangan peribadi berlaku di antara ketiga-tiga calon iaitu calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Sharim Md. Zain dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham, dan Mohd. Shukri Mohd. Ramli.

Menurut beliau, tindakan ini merupakan teladan yang baik dan boleh menjadi contoh kepada rakyat khususnya golongan belia yang kini mula muak dengan politik di negara ini.

“Sikap ini sangat bagus dan tidak seperti PRK-PRK yang sebelumnya yang selalunya akan menyerang ketika berkempen atau atau ketika mengadakan ceramah.

“Sikap inilah yang sebenarnya harus ditunjukkan oleh seorang ahli politik kepada rakyat yang boleh menjadi contoh kepada pemimpin yang akan datang,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOOR

Muhamad Nadzri berharap sikap positif sebegini dipandang serius oleh setiap pemimpin bagi mengubah pandangan masyarakat terhadap politik di negara ini.

Dalam pada itu, Muhamad Nadzri memberitahu, calon dan jentera BN diingatkan agar tidak terlalu selesa walaupun BN dilaporkan berpotensi menang PRK DUN Chini.

“BN jangan sesekali mengambil jalan mudah atau pun dah terlalu yakin akan menang kerana kemungkinan calon bebas ada sokongan dan strateginya tersendiri.

“Inilah masa untuk parti dan calon mengambil langkah yang kreatif dalam menarik hati pengundi di kawasan DUN Chini,” katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.