MCA tiada masalah sokong Muhyiddin

95

27 JUN: MCA tidak mempunyai masalah mempunyai pendirian sama seperti dilakukan Pas bagi menyatakan sokongan usul undi percaya ke atas kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Si Woon berkata, pihaknya perlu mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) sebagai pendekatan ‘en bloc’ untuk mengeluarkan kenyataan rasmi menyokong kepemimpinan Perdana Menteri sekarang.

“Sudah tentu keputusan selepas kita berbincang dengan BN sebagai ‘en bloc’. Walaupun belum dipanggil untuk bincang tetapi kita lihat sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri..memang kita sokong.

“Kita lihat Tan Sri (Muhyiddin Yassin) lakukan kerja terbaik dalam tiga bulan setelah berjaya bawa kita memulihkan pandemik COVID-19. Maksudnya beliau buat kerja dengan baik,” katanya seperti dilaporkan BH.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivaraajh berkata, kemungkinan perkara membabitkan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan berlangsung dalam sesi pemukiman (retreat) di Pulau Langkawi.

Menurut beliau, sesi itu akan diadakan pada 10 hingga 12 Julai ini, beberapa hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang iaitu pada 13 Julai.

“Kita belum bincang lagi tetapi 10 hingga 12 Julai ada pemukiman kami (MIC) di Pulau Langkawi. Saya percayai akan dibincangkan di sana,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau enggan mengulas lanjut perkara itu tetapi akan berbincang dengan rakan lain mengenai pendirian parti Melayu terbesar itu mengenai tindakan Pas akan mengemukakan usul undi percaya ke atas kepemimpinan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, malam tadi dalam satu kenyataan berkata, parti itu akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri pada persidangan Dewan Rakyat 13 Julai ini.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti tersebut sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.