Langgar PKPP: 54 ditahan termasuk berhibur di kelab malam

62

27 JUN: Polis Diraja Malasyia (PDRM) menahan 54 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, daripada jumlah itu lapan individu telah direman manakala 45 lagi dikenakan tindakan kompaun.

“Tangkapan individu tertinggi melibatkan 45 orang menyertai aktiviti kelab malam, refleksologi atau urut (tiga), aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) (tiga) dan masing-masing satu tangkapan aktiviti karaoke dan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan mengenai laporan harian PKPP hari ini.

Beliau memberitahu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 65,959 pemeriksaaan sehinggga semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP.

“Sebanyak 3,393 Pasukan Pematuhan telah membuat pemantauan dan melibatkan seramai 15,116 anggota,” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, PDRM telah membuat 68 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara dan
memeriksa 46,023 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutama di lorong tikus.

“Dalam sekatan itu polis berjaya menahan tujuh warganegara asing di
SJR Operasi Benteng atas kesalahan imigresen,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.