‘Keutamaan saya kebajikan rakyat’

37

27 JUN: Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini tidak mahu mengulas mengenai politik bagi memastikan kebajikan rakyat dibela.

Perdana Menteri berkata, perkara yang menjadi keutamaannya kini juga adalah untuk meningkatkan ekonomi dan pembangunan negara serta menjaga kesihatan rakyat.

“Ramai orang tanya saya, mengapa tidak cakap atau ulas mengenai politik yang berlaku di luar sana. Saya sudah 40 tahun dalam bidang politik namun tidak mahu sentuh pasal politik ketika ini.

“Apa yang jadi perhatian utama saya ketika ini adalah kebajikan rakyat, pembangunan negara dan ekonomi serta menjaga kesihatan rakyat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, Muar, hari ini.

Turut hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, pembukaan sektor ekonomi yang dilakukan kerajaan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya bersandarkan data dan kajian pelbagai pihak.

“Ekonomi kita kehilangan RM2.4 bilion sehari apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Saya terpaksa buat keputusan buka semula ekonomi beransur-ansur serta perlu bertindak dengan berani dan tegas.

“Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus memberitau berita yang membimbangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, jika ekonomi tidak dibuka, seluruh sistem perbankan negara akan runtuh dengan nilai kerugian RM1 trilion.

” Tidak boleh ada pilihan lain kecuali buka semula ekonomi negara secara beransur-ansur sehingga sekarang sudah 95 sektor ekonomi yang sudah dibuka,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut melahirkan kebimbangan sejuta pekerja di negara ini akan hilang pekerjaan terutama anak muda berikutan kesan pandemik COVID-19.

“Sektor ekonomi sudah dibuka namun ia masih perlahan. Oleh itu, saya minta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)supaya ambil langkah proaktif bagi mempermudahkan perniaagan di kawasan masing-masing.

“Ada pula sebelum PKP boleh berniaga di satu lokasi tetapi selepas PKP tidak dibenarkan pula berniaga di lokasi sama. Jadi saya harap kerajaan negeri dan PBT permudahkan bagi rakyat kita sekali gus mengurangkan beban hidup mereka,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.