Kecewa dengan Anwar, 11 AJK PKR Cabang Jelebu keluar parti

105

27 JUN: Nampaknya pergolakan politik dalam PKR sudah tidak dapat dibendung lagi apabila 19 Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Jelebu mengumumkan keluar parti hari ini.

Pengumuman itu dibuat di rumah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Faizal Fadli Mohd. Idrus di Kampung Geylang iaitu AJK cabang berkenaan.

Tindakan itu dibuat kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mohd. Faizal berkata, kegagalan mendamaikan dua kumpulan selepas pemilihan parti pada 2018 dan 2019 serta parti tidak lagi berada di landasan sebenar perjuangan asal menyebabkan mereka kecewa dan keluar parti.

“Ia memberi imej yang tidak baik kepada parti apatah lagi kegagalan menghormati suara majoriti ahli parti yang memilih pasukan dipimpin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden pada pemilihan lalu.

“Perjuangan asal parti juga sudah lari daripada matlamat asal penubuhannya sebaliknya ketika ini hanya memperjuangkan cita-cita seorang individu sahaja,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro dalam sidang akhbar hari ni.

Tambahnya, selain AJK, ahli dari 11 ranting cabang turut keluar parti sebelum ini.

Justeru itu, pihaknya memberi sokongan kepada kepemimpinan kerajaan hari ini dan akan merintis muafakat bersama pemimpin politik di Jelebu.

Selain Mohd. Faizal Fadli, Naib Ketua Cabang, Naib Ketua AMK dan Ketua Srikandi Negeri Sembilan, Naib Ketua Wanita serta dua bekas Ketua Cabang antara yang mengumumkan keluar parti.

Hadir sama bekas naib ketua AMK Pusat, Nazri Yunus yang dipecat pada 1 April lalu dan bekas Timbalan Ketua Cabang, Tang Jay Soon yang keluar parti pada 15 Mei lalu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.