Industri pelancongan negara rugi RM45 bilion kerana COVID-19

64

27 JUN: Industri pelancongan dan kebudayaan negara dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini akibat pandemik COVID-19.

Menurut laporan Bernama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancongan antara sektor yang paling teruk terjejas dan dijangka paling lambat untuk pulih.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi April lalu, volume penggajian menguncup sebanyak satu peratus kepada 14.93 juta orang berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Antara yang paling teruk terjejas ialah tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan seperti penginapan, makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi,” katanya pada pertemuan dengan pemain industri di Kuching, hari ini.

Dalam pada itu, Nancy memberitahu bagi membantu sektor itu bangkit semula, pihaknya menerusi Tourism Malaysia akan memperkukuh inisiatif di bawah pelancongan domestik melalui kempen Cuti-cuti Malaysia dan memperhebat aktiviti promosi selain bekerjasama dengan syarikat korporat dan pempengaruh.

“Kami juga akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan dengan mengguna pakai normal baharu untuk melonjakkan keyakinan pelawat, sekali gus menggalakkan mereka tinggal lebih lama, mengunjungi lebih banyak tempat dan banyak berbelanja.

“Sehubungan itu, saya menggesa kerajaan negeri dan pemain industri dalam sektor pelancongan dan kebudayaan khususnya agar memastikan perkhidmatan serta produk yang ditawarkan berkualiti tinggi, terutama mengenai keselamatan kesihatan dan kebersihan.

Nancy menambah, geran padanan Galakan Melancong Malaysia juga diperluas meliputi aktiviti promosi dan pemasaran bagi membantu pemain industri pelancongan tempatan.

“Kementerian juga telah memperkenalkan Dana Khas bagi Pelancongan atau SFT yang menyokong pembangunan usahawan kecil dan sederhana menerusi pinjaman mudah antara RM50,000 dan RM10 juta.

“Bergantung kepada potensi projek yang dicadangkan. Dana ini dikendalikan oleh SME Bank,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.