3 parti Melayu gabungan PN mesyuarat Selasa ini

222

27 JUN: Buat pertama kali dalam sejarah, Sekretariat parti UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat secara formal, Selasa ini.

Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa, berkata mesyuarat yang dijangka bermula jam 8 malam itu akan disertai lima wakil bagi setiap parti tanpa mendedahkan lokasi mesyuarat berkenaan,

Menurut beliau, di peringkat parti antara UMNO dan PAS mengadakan mesyuarat berterusan setiap dua minggu memandangkan pihaknya sudah membuka sekretariat Muafakat Nasional.

“Tanpa perlu bersembunyi, sekretariat tiga parti termasuk Bersatu akan mengadakan mesyuarat buat kali pertama Selasa ini yang akan diwakili lima pemimpin bagi setiap parti.

“Mesyuarat berkenaan antara lain akan membincangkan persiapan strategi dan hala tuju parti, apa yang perlu dilakukan parti, bentuk kerjasama yang perlu dipraktikkan dan bagaimana harus kita mengurus ketidakbersamaan.

“Isu pengagihan kerusi mungkin tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat kali ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di perusahaan kuih Akok Pok Long di Kampung Padang Mengkali, di sini.

Terdahulu, media Mac lalu melaporkan Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan sekretariat membabitkan semua setiausaha agung parti dalam pakatan itu bagi merangka pelan dan menyelaras hala tuju gabungan terbabit.

Semua setiausaha agung parti gabungan PN sudah menerima arahan daripada kepemimpinan parti masing-masing bagi merealisasikan perkara itu.

Sekretariat terbabit akan bertemu dan membincangkan perkara berkaitan gabungan selain membantu memperkukuhkan jentera kerajaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.