Usaha kerajaan berjaya tangani kesan ekonomi COVID-19

72

26 JUN: Kesan pandemik COVID-19 di Malaysia berjaya dikurangkan melalui pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi yang dilancarkan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia beruntung kerana mempunyai ekonomi yang sangat pelbagai dan tidak bergantung hanya kepada satu atau dua sektor.

“Dari segi penggubalan dasar, terdapat banyak penyelarasan antara agensi ekonomi utama yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya seperti dipetik dari siaran langsung dalam laman Facebook miliknya semalam.

Beliau mengulas laporan terkini Bank Dunia mengenai Malaysia ketika berdepan cabaran akibat daripada COVID-19 dan krisis ekonomi.

Pada masa yang sama, Mustapa menyambut baik dapatan dan cadangan daripada laporan Bank Dunia itu kerana ia menyediakan analisis yang kukuh dan meyakinkan mengenai cabaran ekonomi semasa dan akan membantu memaklumkan usaha kerajaan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Beliau menambah, Malaysia bertindak sangat pantas dan telah melaksanakan dalam tempoh tiga bulan lalu, tiga pakej oleh kerajaan sekarang dan satu pakej daripada kerajaan sebelumnya.

“Pertamanya kita dapat menyediakan makanan untuk rakyat, tiada keluarga yang tidak dapat mengakses kepada makanan.

“Kesihatan menjadi keutamaan kita sejak hari pertama, kita amat efektif dalam membendung wabak ini, dan beruntung kerana mempunyai ekonomi yang pelbagai, selain sektor pembuatan dan perkhidmatan yang pesat, yang sentiasa kukuh, (sementara) pertanian pula selepas ini, manakala perlombongan dan pembinaan juga bergerak dengan baik,” jelasnya.

Selain itu, Mustapa memberitahu, kerajaan telah menyediakan banyak bantuan tunai untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti dalam bentuk geran bernilai RM3,000 kepada perusahaan mikro bagi memulakan semula perniagaan mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga berdepan pelbagai cabaran antaranya dalam memastikan semua bantuan sampai kepada kumpulan sasar serta data yang tidak lengkap.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.