Terus dekati masyarakat menerusi Jalinan Rakyat

181

26 JUN: Program Jalinan Rakyat (JR) yang digerakkan oleh Pergerakan Wanita UMNO perlu ditingkatkan keberkesanan sebagai platform utama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata,fungsi setiap anggota JR amat penting kerana mereka tahu mengenai latar belakang pengundi di kawasan masing-masing.

“Saya menekankan Wanita UMNO mesti mara ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan padu untuk memikul amanah perjuangan.

“Setialah pada prinsip, satukanlah hati bulatkanlah tekad, bergerak dalam satu wadah menuju satu matlamat,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua Wanita UMNO Terengganu.

Noraini menambah, semangat hala tuju harus segera digarap dan digembleng agar menjadi arus dan gelombang besar bagi melonjakkan perjuangan sayap UMNO itu terus memacu kejayaan.

Beliau juga turut mengingatkan Wanita UMNO Terengganu supaya mesti mempunyai ketahanan diri yang tinggi.

“Kita mesti bersatu hati, bersatu jiwa, bersatu perasaan, bersatu tenaga bagi mencapai kejayaan.

“Jangan ada hasad dengki, iri hati dan cemburu diri sesama kita walaupun sekelumit kerana ia akan menjadi barah yang bukan sahaja menghancurkan diri tetapi lebih malang ia akan melumpuhkan kekuatan parti,” katanya. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.